Thursday, January 28, 2010

Membentuk modal insan mengikut acuan Islam

Mukadimah

Islam mempunyai cara tersendiri dalam membentuk modal insan. Ini adalah kerana Islam adalah satu cara hidup syumul (ad-deen) yang mencakupi seluruh aspek kehidupan. Aspek-aspek seperti akidah, syariat dan akhlak menjadi tunjang untuk menjalani kehidupan di dunia sebagai (1) hamba Allah dan (2) khalifah Allah secara serentak.

Akidah, syariah dan akhlak

Keyakinan tentang kewujudan Allah S.W.T sebagai ilah dan rabb perlu diyakini oleh sesiapa yang mengaku muslim dan mukmin. Rabb membawa maksud Allah sebagai pencipta, pentadbir, pemerintah, penguasa dan pemberi rezeki. Ilah pula bermaksud Allah sebagai Tuhan yang disembah atau tempat tujuan segala ibadah kita.
Syariat merupakan jalan hidup muslim dan mukmin termasuklah dalam beribadat, bermuamalat, bermunakahat, berfaraid dan segala yang berkaitan dengan hukum-hakam. Akhlak pula merupakan kaedah bagaimana kita berhubung dengan Allah, dengan sesama manusia dan juga kepada alam sekeliing kita.

Manusia sebagai hamba dan khalifah

Manusia adalah hamba Allah yang unik yang boleh diberi dua tanggungjawab besar secara serentak. Menjadi hamba bermaksud menurut segala titah perintah ‘Tuan’ tanpa membantah. Dalam konteks ini, manusia perlu melaksanakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang ditegah oleh ‘Tuan’nya iaitu Allah s.w.t.
Pada masa yang sama manusia diberi amanah untuk mentadbir alam ini sebagai wakil (khalifah) Allah s.w.t. Amanah ini menghendaki manusia supaya memakmurkan alam ini mengikut acuan Allah S.W.T.

Pembentukan modal insan menurut Islam

Di antara kaedah pembentukan modal insan yang diajarkan oleh Allah s.w.t. ialah seperti yang terkandung dalam Surah Lukman yang lebih dikenali sebagai ‘Wasiat Lukman al-Hakim’. Mari kita lihat sepuluh (10) perkara yang diberi penekanan oleh Allah dalam pembentukan modal insan.
1. Larangan menyengutukan Allah (ayat 13)
2. Berbuat baik kepada kedua ibubapa (ayat 14 dan 15)
3. Sedar akan pengawasan Allah (ayat 16)
4. Mendirikan solat (ayat 17)
5. Menyeru berbuat kebaikan (ayat 17)
6. Mencegah kemungkaran (ayat 17)
7. Sabar menghadapi ujian hidup (ayat 17)
8. Tidak berlagak sombong (ayat 18)
9. Ingatlah bahawa manusia akan mati (ayat 15)
10. Rendahkanlah suaramu, langkahmu (ayat 19)

Kalau kita perhatikan satu persatu ‘wasiat’ tersebut sudah cukup lengkap untuk menjadikan diri kita sebagai seorang modal insan yang bakal berjaya di dunia dan juga akhirat.

Apa peranan kita dalam membentuk modal insan?

Dewasa ini manusia mengalami krisis nilai. Nilaian kita tidak sama dengan nilaian Allah. Perkara yang dianggap baik oleh Allah s.w.t. dianggap sebaliknya oleh sebahagian manusia, dan perkara yang dianggap buruk oleh Allah dianggap sebagai baik oleh sebahagian manusia. Perkara yang kecil dianggap besar dan sebaliknya perkara yang besar dianggap kecil.
Perkara (1) hingga (4) merupakan tanggungjawab individu yang boleh melahirkan individu muslim. Perkara (5) dan (6) adalah perkara yang boleh melahirkan masyarakat muslim. Ini adalah perkara yang paling utama untuk dilakukan oleh kita dalam pembentukan masyarakat yang muslim dari sudut akidah, ibadah dan akhlak. Untuk melaksanakannya kita perlua ada sifat-sifat (7) hingga (10) supaya perkara (5) dan (6) dapat dilaksanakan dengan jayanya dengan bantuan Allah s.w.t. Selebihnya kita memohon pertolongan dari Allah s.w.t. supaya kerja-kerja kearah pembentukan modal insan ini berjaya dan diterima oleh Allah sebagai sebahagian dari amal-amal soleh.

Penutup

Pembentukan modal insan mengikut acuan Allah adalah tanggungjawab kita bersama. Program kearah pembentukan modal insan yang seimbang perlu dipertingkatkan. Pada masa yang sama aktiviti-aktiviti yang memenuhii hasrat dan matlamat program ini perlu diperbanyakkan dan diperluaskan.

Tuesday, January 26, 2010

Rahsia kelahiran generasi al-qur'an

Generasi yang lahir dengan didikan Nabi Muhammad SAW dikenali sebagai generasi al-Qur'an. Mereka ini umpama al-Qur'an yang berjalan. Bagaimana mereka ini boleh menjadi begitu?

Terdapat beberapa rahsia yang membolehkan terbinanya satu generasi di zaman baginda SAW.

1. Pertama, umat Islam hanya mengambil sumber dari al-qur'an semata-mata walaupun pada ketika itu wujud dua tamadun besar yang maju iaitu Rom dan Parsi.

2. Bagaimana sambutan umat terhadap sumber ini? Umat menerima ayat-ayat turun dalam al-qur'an sebagai menerima arahan untuk melaksanakannya. Bukan sekadar untuk mencari ilmu apatah lagi untuk menjadi penglipurlara.

3. Mereka menanggalkan segala ciri kehidupan jahiliyah daripada diri mereka. Mereka benar-benar menjadi seorang manusia yang baru.Mereka sentiasa berjaga-jaga sekiranya jahiliyah masih lagi wujud dalam diri mereka.

4. Terdapat pemisahan perasaan yang sepenuhnya antara zaman lampau dan zaman keislaman.

5. Mereka memisahkan diri dari suasana jahiliyah dalam akidah, adat resam mahupun kemasyarakatan. Mereka kini menumpukan kesetiaan sepenuhnya kepada Islam.

Sunday, January 17, 2010

Nukilan rasa hati


Salam (melalui sms).


Sahabat, andai kau tahu betapa besarnya pahala memikir, merancang, menyusun dan membantu Islam, nescaya kau tak akan tinggalkan tugas jihad ini walau sesaat.Andai kau tahu betapa azabnya meninggalkan amar ma'ruf dan nahi munkar dan merancang untuk membantu Islam, melaksanakan amanah, nescaya kau menghargai sesaat pemberian Allah.


Sahabat, andai kau tahu betapa tingginya nilai persahabatan atas dasar aqidah Islamiyyah, nescaya kau menutup lubang-lubang yang akan merosakkan mahabbah dan mengundang darah.


Sahabat, andai jasad kita menongkah arus, mengorak tarbiyah, memelihara agama, maka biarlah hati kita tabah menempuhnya....

Salam mujahadah.