Wednesday, December 22, 2010

Bab 1 - Islam Pilihan Kita

  • Kenapa kita memilih Islam sebagai agama kita? Adakah kita rasa bersyukur kerana dilahirkan dalam Islam? Atau adakah kita tidak pernah pedulikan kita Islam atau bukan?. Dengan kata lain, kita tidak merasai beruntung menjadi orang Islam muslim. Malah mugkin ada di antara kita yang malu untuk mempraktikkan Islam dalam hidup. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
    “Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasiqan dan ketaqwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensuciakn jiwa itu dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.” (Surah asy-Syams: ayat 8-10).
  • Manusia diberikan aqal untuk membuat pilihan. Bebas untuk memilih satu daripada dua jalan yang disediakan. Jalan fujur atau jalan taqwa. Jalan beriman atau jalan kufur. Untuk menjadi Islam atau Yahudi/Nasrani atau apa saja. Natijah daripada pemilihan itu akan menentukan hakikat kehidupan di akhirat kelak. Di sinilah kita perlu berfikir panjang.
  • Sekiranya kita yang memilih Islam bererti memilih kehidupan yang bahagia di akhirat. Memilih Islam bermaksud ciri-ciri Islam tertegak dalam tingkah laku, peribadi, percakapan dan sebagainya. Juga seluruh kehidupan mempunyai hubungan dengan Allah Subhanahuwata’ala, iaitu melalui hubungan dengan syara’ atau hubungan dengan ajaran Islam. Maknanya perbuatan seseorang muslim mewakili keperibadian Islam sepertimana yang Allah swt kehendaki. Bagaimana pilihan mereka tidak betul, iaitu tidak memilih Islam bahkan memilih jalan lain? Sudah pasti mereka akan mendapat pembalasan dan penderitaan yang hebat daripada Allah swt. Terpulanglah kepada kita untuk memilih satu daripada dua jalan itu.
  • Firman Allah swt
    “Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan saleh, maka bagi mereka syurga tempat kediaman sebagai pahala terhadap apa yang mereka kerjakan. Dan adapun orang-orang yang fasiq maka tempat mereka adalah neraka. Setiap kali mereka hendak keluar daripadanya mereka dikembalikan lagi ke dalamnya dan dikatakan kepada mereka: Rasakanlah siksaan neraka yang dahulu kamu dustakan.” (Surah as-Sajadah: ayat 19-20).
  • Demikianlah, kita hanya ada dua pilihan dalam kehidupan dunia ini samada memilih jalan hidup yang berdasarkan peraturan yang Allah swt tetapkan atau memilih jalan hidup yang berdasarkan peraturan al-Hawa’ (peraturan yang disusun oleh hawa nafsu manusia). Semoga Allah memberi kita taufik dan hidayah untuk terus memilih Islam sebagai cara hidup. Amin Ya Rabbal’alamin.

Tuesday, November 9, 2010

Program PESAT di Asrama Pusat

Sukarelawan Haluan Segamat dengan kerjasama Asrama Pusat Segamat telah mengadakan Program Pembangunan Sahsiah dan Akademik Terpuji (PESAT) di asrama tersebut yang menempatkan 30 orang pelajar lelaki dan 62 pelajar perempuan dari tingkatan 1 hingga 6. Program dimulakan dengan solat maghrib secara berjemaah. Selepas itu pelajar-pelajar dipecahkan kepada beberapa kumpulan. Setiap kumpulan diwakili pelajar dari tingkatan 1 hinga 5 dan dipimpin oleh seorang Pakcik sukarelawan Haluan. Tajuk yang dibincangkan pada malam ini ialah 'Islam pilihan kami'.
Pakcik-pakcik sukarelawan Haluan menjelaskan tentang pentingnya mensyukuri nikmat dipilih oleh Allah untuk menjadi muslim.
(Bersambung...)

Tuesday, October 26, 2010

Program Ceramah Palestin 28 Oktober 2010

Satu program ceramah mengenai Palestin akan diadakan di Asrama Pusat, Segamat, pada 28 Oktober 2010. Ceramah akan bermula selepas solat Maghrib. Ia akan disampaikan oleh Dr. Mohd Arba'ai Shawal, salah seorang Wira dalam kapal 'Mavi Marmara' yang dirampas oleh tentera Israel. Ceramah ini dianjurkan oleh Haluan Segamat dengan kerjasama Asrama Pusat Segamat.

Wednesday, September 29, 2010

Usul 20 - Asas 1

Islam itu menyeluruh dan mencakupi seluruh aspek kehidupan. Ia adalah negara dan watan atau pemerintah dan umat. ia adalah akhlak dan kekuatan ataupun rahmat dan keadilan. Ia adalah pengetahuan dan undang-undang ataupun ilmu dan kehakiman. Ia juga adalah kebendaan dan harta ataupun usaha dan kekayaan. Ia adalah jihad dan dakwah ataupun ketenteraan dan fikrah. Ia juga adalah akidah yang benar dan ibadat yang sahih.

Wednesday, February 17, 2010

Mahasiswa sebagai agen perubahan

Mukadimah

Nabi diutus oleh Allah untuk membawa perubahan total dalam kehidupan manusia. Baginda pernah bersabda yang bermaksud: sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. Allah pula berfirman yang bermaksud: Dan Aku tidak mengutuskan engkau (Muhammad) kecuali untuk membawa rahmat kepada sekelian alam. (bersambung...)

Thursday, January 28, 2010

Membentuk modal insan mengikut acuan Islam

Mukadimah

Islam mempunyai cara tersendiri dalam membentuk modal insan. Ini adalah kerana Islam adalah satu cara hidup syumul (ad-deen) yang mencakupi seluruh aspek kehidupan. Aspek-aspek seperti akidah, syariat dan akhlak menjadi tunjang untuk menjalani kehidupan di dunia sebagai (1) hamba Allah dan (2) khalifah Allah secara serentak.

Akidah, syariah dan akhlak

Keyakinan tentang kewujudan Allah S.W.T sebagai ilah dan rabb perlu diyakini oleh sesiapa yang mengaku muslim dan mukmin. Rabb membawa maksud Allah sebagai pencipta, pentadbir, pemerintah, penguasa dan pemberi rezeki. Ilah pula bermaksud Allah sebagai Tuhan yang disembah atau tempat tujuan segala ibadah kita.
Syariat merupakan jalan hidup muslim dan mukmin termasuklah dalam beribadat, bermuamalat, bermunakahat, berfaraid dan segala yang berkaitan dengan hukum-hakam. Akhlak pula merupakan kaedah bagaimana kita berhubung dengan Allah, dengan sesama manusia dan juga kepada alam sekeliing kita.

Manusia sebagai hamba dan khalifah

Manusia adalah hamba Allah yang unik yang boleh diberi dua tanggungjawab besar secara serentak. Menjadi hamba bermaksud menurut segala titah perintah ‘Tuan’ tanpa membantah. Dalam konteks ini, manusia perlu melaksanakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang ditegah oleh ‘Tuan’nya iaitu Allah s.w.t.
Pada masa yang sama manusia diberi amanah untuk mentadbir alam ini sebagai wakil (khalifah) Allah s.w.t. Amanah ini menghendaki manusia supaya memakmurkan alam ini mengikut acuan Allah S.W.T.

Pembentukan modal insan menurut Islam

Di antara kaedah pembentukan modal insan yang diajarkan oleh Allah s.w.t. ialah seperti yang terkandung dalam Surah Lukman yang lebih dikenali sebagai ‘Wasiat Lukman al-Hakim’. Mari kita lihat sepuluh (10) perkara yang diberi penekanan oleh Allah dalam pembentukan modal insan.
1. Larangan menyengutukan Allah (ayat 13)
2. Berbuat baik kepada kedua ibubapa (ayat 14 dan 15)
3. Sedar akan pengawasan Allah (ayat 16)
4. Mendirikan solat (ayat 17)
5. Menyeru berbuat kebaikan (ayat 17)
6. Mencegah kemungkaran (ayat 17)
7. Sabar menghadapi ujian hidup (ayat 17)
8. Tidak berlagak sombong (ayat 18)
9. Ingatlah bahawa manusia akan mati (ayat 15)
10. Rendahkanlah suaramu, langkahmu (ayat 19)

Kalau kita perhatikan satu persatu ‘wasiat’ tersebut sudah cukup lengkap untuk menjadikan diri kita sebagai seorang modal insan yang bakal berjaya di dunia dan juga akhirat.

Apa peranan kita dalam membentuk modal insan?

Dewasa ini manusia mengalami krisis nilai. Nilaian kita tidak sama dengan nilaian Allah. Perkara yang dianggap baik oleh Allah s.w.t. dianggap sebaliknya oleh sebahagian manusia, dan perkara yang dianggap buruk oleh Allah dianggap sebagai baik oleh sebahagian manusia. Perkara yang kecil dianggap besar dan sebaliknya perkara yang besar dianggap kecil.
Perkara (1) hingga (4) merupakan tanggungjawab individu yang boleh melahirkan individu muslim. Perkara (5) dan (6) adalah perkara yang boleh melahirkan masyarakat muslim. Ini adalah perkara yang paling utama untuk dilakukan oleh kita dalam pembentukan masyarakat yang muslim dari sudut akidah, ibadah dan akhlak. Untuk melaksanakannya kita perlua ada sifat-sifat (7) hingga (10) supaya perkara (5) dan (6) dapat dilaksanakan dengan jayanya dengan bantuan Allah s.w.t. Selebihnya kita memohon pertolongan dari Allah s.w.t. supaya kerja-kerja kearah pembentukan modal insan ini berjaya dan diterima oleh Allah sebagai sebahagian dari amal-amal soleh.

Penutup

Pembentukan modal insan mengikut acuan Allah adalah tanggungjawab kita bersama. Program kearah pembentukan modal insan yang seimbang perlu dipertingkatkan. Pada masa yang sama aktiviti-aktiviti yang memenuhii hasrat dan matlamat program ini perlu diperbanyakkan dan diperluaskan.

Tuesday, January 26, 2010

Rahsia kelahiran generasi al-qur'an

Generasi yang lahir dengan didikan Nabi Muhammad SAW dikenali sebagai generasi al-Qur'an. Mereka ini umpama al-Qur'an yang berjalan. Bagaimana mereka ini boleh menjadi begitu?

Terdapat beberapa rahsia yang membolehkan terbinanya satu generasi di zaman baginda SAW.

1. Pertama, umat Islam hanya mengambil sumber dari al-qur'an semata-mata walaupun pada ketika itu wujud dua tamadun besar yang maju iaitu Rom dan Parsi.

2. Bagaimana sambutan umat terhadap sumber ini? Umat menerima ayat-ayat turun dalam al-qur'an sebagai menerima arahan untuk melaksanakannya. Bukan sekadar untuk mencari ilmu apatah lagi untuk menjadi penglipurlara.

3. Mereka menanggalkan segala ciri kehidupan jahiliyah daripada diri mereka. Mereka benar-benar menjadi seorang manusia yang baru.Mereka sentiasa berjaga-jaga sekiranya jahiliyah masih lagi wujud dalam diri mereka.

4. Terdapat pemisahan perasaan yang sepenuhnya antara zaman lampau dan zaman keislaman.

5. Mereka memisahkan diri dari suasana jahiliyah dalam akidah, adat resam mahupun kemasyarakatan. Mereka kini menumpukan kesetiaan sepenuhnya kepada Islam.